13 June 2011
Kerana Inilah Kehidupan
Dengan sinaran mentari, kita memulakan hari. Kadang-kadang hari yang kita mulakan, tidak bermentari pun. Mungkin hanya mendung atau dibasahi hujan. Di kala senja, saat mentari beransur pudar, kita bersedia untuk menerima malam. Malam yang mengganti siang, boleh jadi diterangi cahaya bulan dan kerlipan bintang, dan boleh jadi kosong. Tanpa apa-apa. Antara siang dan malam, kita melalui semua perkara. Kadang-kadang membuatkan kita tersenyum dan tertawa, dan kadang-kadang membuatkan kita sebak bergenang air mata.
Apa pun yang telah kita lalui sepanjang kehidupan, kita tidak mungin boleh berpatah balik. Mustahil untuk kita mengelak dari menempuh hari-hari yang mendatang. Sama ada suka atau benci, kita perlu juga menempuhnya. Jika dalam perjalanan, kita pernah melakukan kesilapan yang menimbulkan seribu satu penyesalan pada diri, kita tidak ada pilihan lain lagi; melainkan menginsafinya dan menempuh esok dengan dengan azam dan tekad; azam untuk berusaha tidak mengulangi kesilapan lalu dan tekad dengan lembaran hidup yang baru. Jika dalam perjalanan, kita telah mengecap kemanisan hidup, janganlah kita bangga dan mendabik dada. Ingatlah bahawa manisnya hidup seperti juga manisnya debunga; bila-bila sahaja debunga yang manis akan hilang diragut lebah berbisa. Kita harus bersedia.
Apa pun yang telah kita lakukan dalam hidup, jangan pernah melangkah ke belakang. Kerana siang dan malam akan tetap silih berganti membawa hari ke hadapan. Sama ada kita ditemani sinaran mentari, bermendung atau berhujan di siang hari dan sama ada kita ditemani bulan dan bintang atau bergelap di malam hari, kita perlu jua melangkah ke hadapan. Kerana inilah kehidupan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment