06 July 2011

Taktala Ayah dan Umi Diserang Strok...

5 Julai 2011. Cuma berbaki 3 hari lagi sebelum latihan praktikal di Tanjung Demong berakhir. Aku bersemangat sekali pagi itu. Mungkin kerana selepas ini aku tidak akan kembali lagi ke sana. Wah, best! Aku mengomel dalam hati. Pagi itu, aku bangun awal; pukul 5.45 pagi. Aku terus membersihkan diri, sembahyang dan bersiap-siap untuk ke Tanjung Demong. Semasa lalu ke dapur untuk minum air, aku nampak Umi melambai-lambai ke arahku dari kejauhan. Umi duduk di tepi katil. "Ada apa Umi?" Aku menyoal. Pada waktu itu aku tidak tahu apa-apa. Umi tiba-tiba seperti ingin menangis. "Umi tak boleh bangun!" suara umi lain daripada biasa dan beliau tidak boleh bercakap dengan sempurna. Mulut beliau macam mulut orang kena strok. Subhanallah! Aku terkejut. "Tak boleh bangun?" Aku menyoal kembali tanda cemas dan panik. "Umi, Amru pergi panggil Atiyyah" aku terus melangkah naik ke tingkat atas dan memanggil kakak aku. Doktor pelatih di HUSM itu segera turun dalam keadaan terkejut. Dipendekkan cerita, umi akhirnya dibawa ke hospital oleh aku dan kakak aku. Umi terpaksa dipapah untuk naik kereta kerana kaki beliau tidak lagi sekuat dulu. Kenapa begitu pantas sekali untuk semua ini berlaku?-Sepanjang perjalanan ke hospital, aku menyoal diri sendiri.

Ah, aku asyik ingin menangis. Tekanan darah umi mencecah 200. Aku menangis kerana terkejut dan bimbang. Akukah penyebab umi stress? Akukah yang memeningkan umi selama ini sehingga beliau diserang strok? Akukah yang membuatkan beliau selalu berkeadaan risau? Akukah??? Maafkan Amru umi...maafkan Amru....aku bermonolog sendirian. Ya, selama ini aku yang buat Umi bimbang. Aku buat umi risau dengan keadaan aku. Aku merokok, aku marah-marah bila ada sesuatu yang tidak kena...dan aku buat macam-macam! Maafkan Amru Umi....Ah, umi tidak apa-apa! Umi akan O.K! Yakin! Dalam yakin, air mata aku mengalir juga...

Pukul 2.00 petang aku balik sekejap ke rumah untuk menjenguk ayah dan mengambil kain baju umi. Umi kena tahan di ward. Aku tinggalkan sekejap Umi keseorangan di hospital. Ayah di rumah juga berseorangan. Semasa aku dalam perjalanan ke rumah, tiba-tiba aku sedih terkenangkan umi sendirian di hospital. Dan bila aku dalam perjalanan ke hospital pula, aku rasa sebak terkenangkan ayah yang bersendirian di rumah. Ayah sakit lutut dek rawan pada sendi lutut beliau sudah haus. Ayah juga selalu letih dek strok 3 tahun yang lalu. Semasa aku sampai di rumah pukul 2.00 petang tadi pun, ayah sedang tidur. Beliau nampak letih.

Ah, tak ada apa-apa lah. Ayah masih boleh berjalan, pandailah beliau menjaga diri. InsyaAllah tiada apa-apa. Yang kritikal sekarang umi. Umi tidak boleh berjalan dan perlukan seseorang untuk menolak kerusi roda ke tandas dan memapah beliau duduk dalam tandas. Hendak membuka paip pun beliau tdak bermaya melakukan sendiri. Umi perlukan orang untuk menyuapkan beliau nasi! Ah, aku cuba menenangkan hati. Jauh di sudut hati, aku sebenarnya bimbangkan ayah sendirian di rumah......

Malam tadi aku sudah membuat keputusan. Kalau Umi masih tidak sembuh lagi selepas Aidilfitri bulan 9 nanti dan masih tidak boleh berjalan seperti sediakala, aku akan menangguh pengajian aku di UMT, atau memohon untuk berhenti pengajian. Bukan apa, ayah hendak berjalan 2 meter pun bukan main siksa dan lambat, ditambah dengan keadaan beliau yang selalu pening serta letih. Umi pula hilang upaya bahagian badan sebelah kanan dan tidak boleh berjalan dek diserang strok pagi tadi. Keputusan dan tindakan yang tidak tepat sekiranya aku meninggalkan umi dan ayah berdua di rumah, sedangkan kedua-dua mereka sakit dan lemah. Memanglah Atiyyah ada di rumah, tapi beliau sering on call. Pada hari biasa pun, beliau terpaksa pergi kerja pukul 8 pagi dan balik pukul 6 petang. Jadi akulah yang mesti berkorban. Pelajaran buat masa ini bukan lagi keutamaan bagi aku. Keutamaan sekarang ialah ayah dan umi. Bagi aku, jika berjaya menjadi pelajar terbaik di peringkat dunia sekalipun, tidak akan memberi apa-apa kepuasan dan kebahagiaan, sekiranya kita melepaskan peluang yang masih ada hari ini untuk ditangisi hari esok. Biarlah hari semalam yang telah berlalu. Tetapi hari ini, peluang masih terbuka luas untuk aku menebus kesalahan lalu. Dan aku bukanlah pelajar yang gilakan nama dan populariti dalam dunia akademik. Aku bukanlah si bodoh yang sanggup meninggalkan emas permata yang telah melahirkan aku demi mengejar sekeping kertas yang tiada nilai apa-apa pun di sisi Tuhan. Aku nekad untuk menjaga ayah dan umi, walau apapun yang perlu aku korbankan kerana aku yakin nilai sebenar kebahagiaan bukan terletak pada sekeping sijil kertas.

Ayah dan Umi, mulai saat ini anakmu ini tidak lagi sesekali akan meninggalkanmu selagi masih diberi nafas oleh Tuhan!