13 March 2011

Tsunami, Sakura, dan Kita


Petang itu aku rehat-rehat sambil menatap senaskhah akhbar. Angin pantai menghembus tubuhku. Kekuatannya seakan mahu sahaja menerbangkan akhbar itu. Aku terus menatap, membuka helaian akhbar. Satu persatu.

Dasyat sekali penangan ombak yang dinamakan 'Tsunami' itu. Kemusnahan dimana-mana. Dari udara, kelihatan runtuhan di sana sini. Ibarat sebuah negara yang baru sahaja mengakhiri zaman perang. Gemuruh seluruh warga Negara Matahari Terbit itu. Bimbang takut-takut Tsunami menjenguk lagi. Dunia juga bising. Negara itu bersimpati. Negara ini bersimpati.

Naoto Kan, Perdana Menteri Jepun yang entah ke berapa itu mengatakan sedikit bahan radioaktif terpaksa dilepaskan ke udara bagi mengurangkan tekanan dalam reaktor. Tsunami telah menyebabkan sistem penyejukan reaktor tidak berfungsi. Riuh penduduk yang menetap disekitar reaktor. Dalam fikiran masing-masing, mungkin terbayangkan peristiwa letupan reaktor nuklear Chernobyl tahun 1986 itu. Bandar Pripyat di Ukrain menjadi kosong tidak berpenghuni. Semua penduduk ingin menyelamatkan diri dari radiasi.

Aku terus membelek akhbar. Aku memerhati gambar-gambar kemusnahan yang dipaparkan. Maha dasyat. Rumah-rumah lesap entah kemana. Yang kelihatan hanya tinggalan tapak yang masih bersisa. Kereta tunggang-langgang di sana sini, tenggelam bersama serpihan dan sampah-sarap. Lapangan terbang dibanjiri air laut. Rumah dan kilang runtuh. Dan tangki penyimpanan gas asli terbakar. Sekitar kawasan kebakaran, udara dipenuhi asap hitam.

Lagu 'Sekuntum Bunga Sakura' bercorong dan bermain-main di telinga. Menyaksikan kemusnahan itu -walaupun hanya melalui gambar-gambar- menyebabkan aku terasa seolah-olah betul-betul berada di sana. Entah mengapa, lirik-lirik lagu Sekuntum Bunga Sakura semakin rancak. Kisah kekasih putus cinta dalam lagu tersebut, berbeza sama sekali dengan kisah petaka yang menimpa Jepun ini. Mungkin kerana bunga Sakura begitu sinonim dengan Jepun, lagu ini berdendang.

Aku hanyut seketika.....

Jepun adalah sebuah negara maju yang menarik. Negara banyak hutang ini memang popular dengan Bunga Sakura atau 'Cherry blossom'. Sakura memang cantik. Walaupun waktu berbunganya tidak tahan lama, Sakura memikat mata yang memandang. Musim Sakura mekar pula ditunggu-tunggu oleh pelancong dan warga Jepun sendiri. Sakura mekar memberi pemandangan yang indah dan bernostalgia. Bunga Sakura kebanggaan warga Jepun ini, bolehlah disamakan dengan sebuah kehidupan yang ceria, bahagia, dan penuh warna. Tapi kini, tiada lagi keindahan bunga Sakura untuk disaksikan. Yang ada hanyalah kemusnahan di mana-mana. Bunga Sakura hanyut entah kemana. Barangkali sudah layu, koyak-rabak dan reput dalam arus.

Azan maghrib tiba-tiba berkumandang. Lagu 'Sekuntum Bunga Sakura' terhenti bercorong. Saya berhenti berkhayal. Kita semua bolehlah diibaratkan seperti bunga Sakura. Bila-bila masa sahaja, kita boleh ditimpa 'Tsunami', dihanyutkan 'arus deras' dan terlonglai layu di perut bumi. Keceriaan dan kebahagiaan, boleh hilang sekelip mata. Umur kita pun, seperti juga umur bunga Sakura; tidak panjang. Umur alam dan perjalanannya juga begitu.


"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar"

"(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." -Maksud dari Surah al-Baqarah.