14 March 2011

Kampung Muhasabah

Hari khamis ini sepatutnya saya bertolak ke Kuala Lumpur, mengikuti lawatan yang dianjurkan FICOS. Dua minggu yang lalu, saya telahpun membayar tambang lawatan.

Salah satu tempat yang akan kami lawati ialah KLIA. Saya menyertai lawatan, semata-mata hendak melihat dengan dekat Hotel Haiwan yang dikendalikan oleh kargo MAS. Saya ingin melihat bagaimana proses import, eksport dan stop-over transshipment haiwan

dilakukan. Manalah tahu, kalau-kalau suatu hari nanti saya mempunyai kolam ikan dan mahu mengeksport ikan ke luar negara. Cita-citanya begitulah.

Entah kenapa sehari dua ini, mood saya menghilang. Apa yang dibuat, ada sahaja seperti yang tidak kena. Semua perkara, terasa seperti tidak sempurna. Seperti ada suatu kekurangan di situ. Perasaan pula bercampur gaul. Antara sedih, kecewa, marah, dan benci. Senyuman memang selalu terukir di wajah saya. Gurauan pun tidak pernah lekang dari gusi. Tapi dalam hati, siapa yang tahu?

Di tengah keserabutan, saya membuat keputusan untuk membatalkan lawatan ke Kuala Lumpur itu. Biar yang lain sahaja yang pergi. Makan angin ke Kuala Lumpur di waktu kepala berserabut begini, boleh menambahkan lagi keserabutan. Lagipun saya memang bencikan perjalanan yang lama dah jauh. Lebih baik pulang ke kampung sahaja. Dapat juga mencari ilham dan bermuhasabah, di sisi alam yang belum terusik di kampung saya itu.

Ada yang bising bila saya bercuti di kampung pada hari minggu. Ada yang kata saya manja. Ada yang kata saya pasif; tidak aktif dengan aktiviti universiti. Dan macam-macam lagi. Ada yang menyalahkan percutian saya di kampung gara-gara tugasan berkumpulan tidak berhasil seperti yang diidamkan. Reaksi saya, hanya mengomel dalam hati. Whatever.

Di universiti tidak lagi sama seperti di sekolah rendah. Aktif atau pasif, tidak boleh lagi dinilai dengan keterlibatan dengan program dalam universiti semata-mata. Luar lingkungan universiti, beribu-ribu lagi aktiviti yang boleh dilakukan. Soal kerja berkumpulan pula, di mana-mana pun boleh dilakukan. Jika boleh berbincang segala-galanya melalui Facebook, mengapa tidak boleh sahaja berbincang tugasan melalui cara yang sama? Sekarang, di kampung pun sudah ada talian internet. Hendak buat persidangan video melalui internet pun boleh.

Tapi begitulah, salah satu kepelikan manusia hari ini ialah suka menyukarkan benda yang sememangnya mudah. Suka juga menyalahkan orang. Mengkritik dan melabel orang, seimbang dan sama banyak.

Masa di sekolah, perangai melabel orang memang biasa. Zaman kebodohan katakan. Macam-macam saya dilabel. Menjejakkan kaki di universiti, dua kali lima rupanya. Perangai masih lagi macam perangai budak-budak.

Antara label yang saya terima ialah pemalas. Saya dikatakan suka curi tulang; suka lari dari kerja. Saya akui, saya bukanlah rajin sangat. Kalau rajin rasanya saya sudah berada di University of Tokyo sekarang. Paling kurang, di UPM. Tapi saya sebenarnya bukanlah pemalas sangat. Sewaktu latihan amali, saya boleh saja menjalankan eksperimen dari awal hingga akhir seorang diri. Memanglah, saya kalau boleh mahu melakukan sendiri setiap langkah eksperimen. Dari A sampai Z. Sebab saya memang sukakan eksperimen di makmal.

Tapi kalau saya masuk sahaja ke makmal dan menyentuh alat atau radas awal-awal lagi, orang kata saya mahu menguasai, mahu buat kerja seorang diri; mahu 'sapu semua'. Dan kalau saya biarkan orang lain yang mulakan dahulu pula, orang kata saya hanya tengok dan tak buat kerja pula. Memanglah saya hanya tengok dan tak buat kerja. Alat radas di tangan anda. Takkanlah saya mahu merampas alat dan radas dari tangan orang. Yang memegang alat dan radas pula asyik mengarahkan itu dan ini. Yang lain hanya jadi Pak Turut. Kemudian, labelkan orang sebagai pemalas, tidak bertanggungjawab, itu dan ini...Begitulah, satu kumpulan tuduh saya mahu kuasai segala-galanya, satu kumpulan lagi kata saya malas buat kerja. Akhirnya saya bingung seorang diri.

Bekerja dalam kumpulan, sepatutnya jangan ada permintaan yang berbentuk arahan. Jika arahan dalam nada bergurau bolehlah diterima. Dalam kumpulan, sepatutnya kita berkomunikasi secara adik-beradik. Tanya dahulu 'awak nak buat yang mana dan saya pula nak buat yang mana'. Dahulukan 'awak'. Itu melambangkan toleransi. Bukannya datang-datang, "saya dah buat yang ini dan awak pula buat yang ini!" Bekerja dalam arahan, boleh menghilangkan mood. Yang rajin pun boleh menjadi malas tiba-tiba. Kalaupun kita seorang ketua atau mengangkat diri menjadi ketua, janganlah memberi arahan sebelum bertanyakan ahli yang lain.

Saya bukanlah hendak bermusuh atau mencari gaduh. Musuh sedia ada pun sudah terlalu ramai rasanya. Tapi, berkali-kali menuding jari kepada orang dan melabel macam-macam, ada baiknya sesekali kita merendah diri dan menuding jari kepada diri sendiri. Kita bermuhasabah dan menilai diri, yang sememangnya penuh dengan kelemahan ini. Mungkin kita pun ada label yang orang pendamkan.

Khamis ini, saya pun ingin pulang ke kampung dan bermuhasabah. Saya ingin mencari jawapan. 'Saya ini pemalas'. Mungkin ada benarnya.