04 May 2011
Suatu Kehilangan
Hari itu mereka bertiga tidak hadir ke sekolah. Pelik. Jarang mereka tidak hadir ke sekolah, apa lagi ketiga-tiga orang sekaligus. Kemana mereka? Kami tertanya-tanya sesama sendiri.
Omar sama umur dengan saya. Saya di kelas no. 2, beliau pula di kelas no.1. Beliau lebih pandai dari saya. Rupa beliau yang kacak dan yang putih melepak pula, jauh sekali dengan rupa saya yang hanya biasa-biasa dan kuning langsat ini. Kerana itu, pemilik badan berwajah Pan Asia ini agak popular di sekolah. Hakikat bahawa beliau mewarisi darah bangsa Eropah, memang dikagumi dan dipandang tinggi.
Ketiadaan Omar di sekolah pada hari itu, membuatkan kami tertanya-tanya. Biasanya hanya salah salah seorang dari mereka sahaja yang tidak hadir. Tapi hari itu, bukan sahaja Omar, tapi abangnya; Abu Bakar, dan adiknya; Othman, juga tidak kelihatan.
Di sekolah, saya dan Omar, walaupun selalu bertemu, tetapi kami jarang bercakap. Saya susah hendak 'masuk' dengan orang jenis pendiam ini. Dan Omar memang pendiam. Pada waktu rehat, taktala orang lain makan-makan, borak-borak dan bergurau senda, beliau pula lebih suka menghabiskan waktu rehatnya di perpustakaan...
Tiba-tiba Alif meluru ke arah kami. Alif adalah anak kepada guru bahasa Inggeris kami; Teacher Rahnah. Apa-apa maklumat dari guru, beliaulah murid yang terawal tahu. "Abu Bakar, Omar dan Othman mati lemas!". Kami semua terkejut. "Mereka sekeluarga pergi mandi-manda di kolam renang. Tiba-tiba Othman lemas. Umar yang berada di pinggir kolam terjun untuk menyelamatkan Othman, tapi turut lemas. Abu Bakar yang panik, terjun untuk menyelamatkan kedua-dua adiknya. Tapi....Abu Bakar turut lemas bersama-sama..."
Tengahari itu, kelas dibatalkan. Semua guru Sekolah Rendah Islam Sri Kota pergi ke rumah tiga beradik tersebut. Beberapa orang murid turut terpilih. Saya pula antara yang tidak berpeluang untuk menziarahi mereka. Hanya al-Fatihah dari kejauhan yang mampu saya sedekahkan....
Saya yang tiba-tiba rasa kehilangan ketika itu, menitipkan doa dalam hati. Semoga Abu Bakar, Omar dan Othman diletakkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Semoga pengorbanan dua orang abang demi menyelamatkan seorang adik, diberi ganjaran oleh Yang Maha Esa. Al-Fatihah.
*Umar ketika itu darjah 3. Abu Bakar darjah 5, manakala Othman baru memasuki darjah satu. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment